NEW YORK: Facebook membuang ratusan akaun yang dipercayai terlibat dengan kempen penyebaran maklumat tidak betul oleh kumpulan anti vaksin yang beroperasi dari Rusia.
Syarikat media sosial itu berkata, rangkaian akaun itu menyasarkan pengguna di India, Amerika latin dan Amerika Syarikat (AS).
Katanya, mereka cuba merekrut golongan pempengaruh untuk menyebarkan maklumat yang salah bagi menghakis keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan vaksin Covid-19.
Menerusi laporan terkini mengenai ‘menangani sikap tidak bertanggungjawab’, Facebook berkata, pihaknya menemui pautan antara rangkaian dan kempen penyebaran maklumat salah dari agensi pemasaran pempengaruh, Fazze yang merupakan sebahagian daripada syarikat bertapak di Rusia, Ad Now.
Bulan lalu, BBC melaporkan bagaimana golongan pempengaruh ditawarkan wang tunai oleh Fazze untuk menyebarkan dakwaan tidak benar mengenai risiko yang dikaitkan dengan vaksin Pfizer.
Menurut Facebook, itu adalah percubaan kali kedua oleh rangkaian itu untuk memburukkan vaksin keluaran negara Barat.
Hasil penyiasatan mendapati pada November tahun lalu, rangkaian sama cuba menyalurkan maklumat salah mengenai vaksin AstraZeneca yang didakwa berbahaya kerana menggunakan adenovirus berbahaya daripada cimpanzi. -BBC