COPENHAGEN: Kerajaan Denmark dan Norway memutuskan untuk menutup sementara kedutaan negara itu yang terletak di Kabul atas faktor keselamatan.
Finland pula dilaporkan akan memindahkan kira-kira 130 kakitangan warga Afghanistan.
Perkara itu dimaklumkan oleh menteri-menteri dari Negara Nordik, semalam.
“Rakyat Denmark yang berada di Afghanistan perlu meninggalkan negara itu segera, situasi di sana agak serius,” kata Menteri Luar, Jeppe Kofod dalam sidang akhbar.
Jelas Kofod, semua kakitangan kedutaan akan dipindahkan dan bangunan itu akan ditutup buat sementara waktu.
Sementara itu, Menteri Luar Norway, Ine Eriksen Soreide dalam sidang akhbar memaklumkan pemindahan itu juga akan ditawarkan kepada warga Afghanistan bekerja di sana yang mempunyai keluarga terdekat di Norway.
Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto berkata, Parlimen bersetuju menerima kira-kira 130 warga Afghanistan yang bekerja dalam perkhidmatan Finland, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersama keluarga mereka disebabkan situasi keselamatan yang semakin membimbangkan.
Jelas Haavisto, kedutaan Finland akan beroperasi buat masa ini namun ia tertakluk kepada situasi keselamatan berterusan. – AFP