ALGAR: Sebuah perkampungan di sini berusaha mengangkat budaya berborak di kaki lima menjadi warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Datuk Bandar Algar, Jose Carlos Sanchez berkata, budaya berborak di kaki lima itu sudah menjadi ‘asam garam’ kehidupan penduduk di sini.
Katanya, penduduk di pekan yang mempunyai kira-kira 1,400 populasi ini lebih suka berbual bersama jiran tetangga secara berdepan sambil minum kopi.
“Berbual di depan rumah ini adalah pengganti kepada media sosial dan kami mahu angkat tradisi ini sebagai warisan dunia yang tidak akan dilupakan.
“Tradisi yang dikenali sebagai charlas al fresco itu kebiasaannya dilakukan semasa musim panas apabila penduduk keluar rumah untuk mengambil angin, namun kini sudah jadi budaya kami,” katanya kepada The Guardian.
Sanchez juga memaklumkan, aktiviti tersebut dapat mengurangkan rasa kesunyian dalam kalangan penduduk dan dilihat sebagai terapi positif.
Beliau memberitahu, usahanya disambut baik oleh semua penduduk Algar dan berharap UNESCO dapat mempertimbangkan cadangannya.