ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan beberapa bahagian di selatan negara ini yang dilanda kebakaran hutan sebagai ‘kawasan darurat’.
Beliau berkata demikian ketika mengunjungi kawasan terjejas di Manavgat semalam.
“Kita akan lakukan apa sahaja untuk pastikan keadaan kembali terkawal, termasuk memberi pampasan kepada mereka yang kehilangan keluarga dalam bencana ini.
“Ankara tidak mahu mempolitikkan bencana ini, dan kami akan cari punca dan sebarang perbuatan khianat sehingga menyebabkan kebakaran hutan,” katanya.
Jumlah kematian akibat bencana itu juga dilaporkan meningkat kepada enam orang.
Kebakaran hutan di Turki menjadi semakin parah sejak Rabu lalu, menyaksikan semakin banyak kawasan terjejas dan ribuan penduduk perlu dipindahkan.
Menteri Agrikultur dan Perhutanan Turki, Bekir Pakdemirli berkata, 88 daripada 98 kebakaran hutan yang dilaporkan sudah berjaya dikawal.
Sekurang-kurangnya lima orang maut di Manavgat dan seorang lagi terkorban di Marmaris.
Kedua-dua pekan itu terletak berhampiran laut Mediterranean dan menjadi tumpuan pelancong.
Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca berkata, 400 penduduk yang dimasukkan ke hospital di Manavgat sudah keluar, manakala 10 lagi masih menerima rawatan.
Di Marmaris, 159 orang terima rawatan dengan seorang dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk.
Media Turki melaporkan, pelancong di beberapa hotel di pekan Bodrum juga dipindahkan menerusi laut menggunakan bot serta kapal.