BANGKOK: Thailand akan menerima sebanyak 61 juta dos vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca pada tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh seorang jurucakap kerajaan ketika Thailand sedang berusaha melaksanakan vaksinasi terhadap penduduknya dengan pantas di tengah lonjakan kes jangkitan Covid-19.
Thailand merupakan hab pengeluar vaksin AstraZeneca di negara tersebut namun lambat menerima bekalan dos mencukupi untuk memberi suntikan kepada penduduknya.
Kira-kira sembilan peratus daripada 66 juta penduduk Thailand sudah menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya.
“Ini merupakan berita baik, ia akan membantu mewujudkan imuniti kekebalan dengan lebih cepat.
“Ia juga akan mengurangkan tekanan di sistem kesihatan selain membantu orang kembali kepada kehidupan normal dan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara,” kata jurucakap Anucha Burapachaisri menerusi kenyataan.
Bulan lalu, pegawai kesihatan memaklumkan firma AstraZeneca meminta untuk menangguhkan penghantaran bekalan sebanyak 61 juta dos vaksin hingga Mei tahun depan.
Jelas Anucha, pengumuman vaksin Covid-19 akan tiba lebih awal daripada dijangkakan, diikuti selepas pertemuan antara Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha dan Ketua Eksekutif AstraZeneca, Pascal Soriot.
Penghantaran itu akan menjadikan jumlah bekalan vaksin Covid-19 Thailand pada tahun ini meningkat lebih 120 juta dos.
Jumlah itu merangkumi 61 juta dos vaksin AstraZeneca, 30 juta dos vaksin Sinovac dan 30 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech.
Tambah Anucha, Thailand akan membeli tambahan 60 juta dos vaksin AstraZeneca pada tahun depan. – REUTERS