LONDON: Lebih ramai orang di dunia didakwa akan meninggal dunia akibat Covid-19 sekiranya pemimpin barat menolak tanggungjawab mereka dengan mengutamakan pemberian suntikan booster atau penggalak vaksin kepada penduduk di negara sendiri.
Lapor The Guardian, perkara itu ditegaskan oleh ketua kumpulan vaksin Oxford yang merupakan antara pencipta vaksin Covid-19.
Profesor Sir Andrew Pollard bersama Ketua Eksekutif Pakatan Vaksin Global (Gavi), Seth Berkley berkata, kajian saintifik dan kesihatan awam untuk pemberian suntikan dos penggalak secara besar-besaran masih belum dilakukan.
Kata mereka, pemberian dos penggalak itu dikhuatiri boleh menyebabkan implikasi yang besar terhadap negara lain.
“Perkara ini amat penting bagi pembuat keputusan. Pemberian dos penggalak secara besar-besaran di negara kaya menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa suntikan demikian amat diperlukan di semua negara.
“Ini akan mengurangkan lebih banyak dos vaksin dari sistem dan lebih ramai penduduk akan meninggal dunia kerana tidak berpeluang untuk menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
“Sekiranya, jutaan orang diberi dos penggalak tanpa kajian saintifik yang kukuh, maka sejarah akan mengingati masa pemimpin negara menolak tanggungjawab terhadap seluruh manusia ketika krisis terbesar ini,” jelas mereka.
Selasa lalu, Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid berkata, negara itu bersiap sedia untuk menawarkan suntikan dos penggalak kepada semua penduduk berusia lebih 50 tahun ke atas.
Dilaporkan, Jerman, Perancis dan Israel juga dalam perancangan atau sudah melaksanakan suntikan dos penggalak kepada warga emas walaupun butiran kelayakan berbeza mengikut negara masing-masing.
Jelas Pollard dan Berkley, meskipun vaksin Covid-19 membawa harapan untuk menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia, namun ribuan orang masih meninggal dunia akibat wabak itu setiap minggu dan banyak negara sudah berputus asa dengan situasi tersebut. – AGENSI