LOS ANGELES: Semua guru di California harus mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 atau menjalani ujian saringan secara mingguan.
Perkara itu diumumkan oleh Gabenor negeri tersebut ketika pihak berkuasa bergelut untuk menangani lonjakan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.
Menurut Gavin Newsom, jumlah penduduk yang disaring positif Covid-19 semakin meningkat di seluruh Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, sebahagian besar kes baharu itu disebabkan penularan varian Delta yang sangat mudah dijangkiti.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan guru ketika negeri itu sedia memulakan sesi persekolahan baharu.
“Kami menggesa semua kakitangan sekolah untuk mengambil suntikan vaksin bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak mereka selamat ketika sesi persekolahan bermula.
“Vaksinasi akan menamatkan pandemik ini. Sebagai seorang bapa, saya berharap dapat melihat semua kanak-kanak California kembali ke sekolah,” katanya.
Perintah diumumkan semalam membabitkan semua sekolah awam dan swasta.
Ia juga menjadi tanggungjawab kepada pihak pengurusan sekolah untuk memastikan semua kakitangannya sama ada diberi vaksin atau diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya seminggu sekali. – AFP