China dakwa AS negara paling gagal tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

China dakwa AS negara paling gagal tangani Covid-19

PENUNJUK perasaan mengadakan demonstrasi membantah pengambilan vaksin Covid-19 diwajibkan di New York, Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Tiga badan pemikir China mengeluarkan satu laporan yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) berada pada kedudukan pertama bagi negara paling gagal menangani pandemik Covid-19.

Laporan itu mendakwa pertengkaran politik antara dua parti utama di AS menyebabkan sebanyak 617,000 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di seluruh di negara itu.

Pasukan penyelidik dari Institut Pengajian Kewangan Chongyang di Universiti Renmin China serta Institut Taihe dan Intellisia mengeluarkan laporan tersebut mengenai tindak balas AS terhadap pandemik Covid-19.

Laporan yang bertajuk America Ranked First ?! The Truth about America’s fight against Covid-19 didedahkan kepada komuniti antarabangsa kelmarin.

Laporan itu menggambarkan AS sebagai negara yang gagal dan berpecah-belah serta sumber wabak yang disyaki.

Laporan itu juga mendakwa Donald Trump merupakan penyokong berita palsu Covid-19 yang terbesar dan menyatakan bekas Presiden AS itu mencetuskan pertikaian hyperpartisan yang menghalang ahli Parlimen dari parti Demokrat dan Republikan memerangi penularan virus itu.

Sambil memetik ‘pertikaian partisan’ sebagai punca menghalang pakar kesihatan awam melaksanakan tugas mereka, laporan itu turut mengecam AS kerana membiarkan penularan gelombang keempat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

“Pentadbiran Trump terlalu mahu mengukuhkan kedudukan Republikan menerusi pemerkasaan ekonomi serta sektor pekerjaan.

“Akibatnya, kerajaan pimpinan Trump berulang kali mengabaikan amaran mengenai Covid-19 dan meremehkan risiko yang ada,” jelas ahli akademik China dalam laporan itu.

Jelas laporan tersebut, virus Covid-19 menular lebih cepat di negeri-negeri pimpinan Demokrat seperti New York dan California.

Namun, ahli Parlimen dari Demokrat menghabiskan banyak tenaga berdebat mengenai isu yang tidak penting daripada memerangi koronavirus.

Sementara itu, laporan tersebut turut menafikan dakwaan AS bahawa sebuah makmal di Wuhan mungkin menjadi penyebab wabak Covid-19 pada 2019.

Laporan itu sebaliknya mendakwa AS mungkin merupakan sumber wabak yang disyaki selain menyatakan beberapa teori konspirasi yang belum dapat dibuktikan, antaranya cuba mengaitkan kewujudan virus itu dengan Fort Detrick dan operasi ketenteraan AS. 

Laporan itu juga mendakwa AS gagal kerana ‘sikap anti pandemik, protes dan kemelesetan ekonomi’ yang berlaku ketika kes jangkitan meningkat drastik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya