BANDAR SERI BEGAWAN: Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran rentas sempadan selama 15 hari mulai 1 hingga 15 September ini bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi negara, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan.
Pelita Brunei melaporkan, ini bagi menjunjung titah perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan merujuk kepada siaran media JPM mengenai ‘Makluman Pelanjutan Penangguhan Sementara Kebenaran Aktiviti Rentas Sempadan dan Kebenaran Kemasukan dan Keluar Negeri Bagi Lima Buah Negara di Subbenua India’ bertarikh 14 Ogos lalu.
JPM memaklumkan kemasukan dan perjalanan transit melalui Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada bagi tujuan seperti (i) Atas urusan rasmi kerajaan; (ii) Persekolahan; (iii) Perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera); dan (iv) Vaccinated Transport Operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi penghantaran bekalan import yang penting.
Bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di pekarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh ‘runners’ berdaftar di Brunei; serta keluar dan masuk negeri secara ulang-alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.
Sementara itu, pelanjutan penangguhan sementara kebenaran kemasukan dan keluar negeri bagi lima buah negara dari subbenua India, iaitu India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh selama 15 hari lagi mulai 1 hingga 15 September 2021, bagi (i) Perjalanan masuk semua warganegara asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh).
Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di Brunei adalah dibolehkan untuk memasuki negara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.
Bagi perjalanan warganegara asing yang berlepas dari subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh) dengan melalui Brunei secara transit; dan perjalanan keluar dari Brunei menuju ke subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh) atas apa jua sebab atau urusan.
Pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini adalah dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negeri serta warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang telah dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di Brunei dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap.
Penangguhan kebenaran ini juga dikenakan bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Brunei dari Subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh) melalui penerbangan yang telah dibenarkan sebelum ini, maka kebenaran tersebut adalah ditarik balik.
Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa.
Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, boleh melayari laman sesawang JPM di alamat ‘www.pmo.gov.bn/travelportal’ atau menghubungi ‘travel hotline’ di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada ‘[email protected]’.