KABUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran satu lagi serangan pengganas boleh berlaku dalam tempoh 24 hingga 26 jam sebelum operasi pemindahan penduduk dari Afghanistan berakhir.
Lebih 112,000 penduduk termasuk rakyat asing sudah meninggalkan negara ini sejak Taliban menguasai Afghanistan.
Dalam serangan pengebom bunuh diri pada Khamis lalu, sekurang-kurangnya 100 orang maut termasuk 13 anggota tentera AS.
Semalam, Pentagon memaklumkan tentera AS melancarkan serangan balas menggunakan dron terhadap dalang serangan Kabul, menyebabkan dua anggota Daesh maut.
“Situasi di Kabul ketika ini amat bahaya dan ancaman serangan pengganas di kawasan lapangan terbang tersebut masih diletakkan pada tahap tertinggi.
“Komando tentera AS memaklumkan kemungkinan serangan pengganas boleh berlaku dalam tempoh 24 hingga 36 jam akan datang,” kata Biden.
Kedutaan AS di Kabul kemudiannya mengeluarkan amaran mengenai ancaman pengganas di beberapa bahagian utama lapangan terbang tersebut, termasuk di pintu utama. – AFP