LONDON: Sejumlah gambar yang menunjukkan ratusan penduduk Afghanistan memenuhi ruang dalam kapal kargo Amerika Syarikat (AS) selepas mereka mengejar pesawat itu sebelum berlepas didedahkan oleh beberapa portal berita antarabangsa.
Gambar yang diperoleh Defence One menunjukkan semua rakyat Afghanistan berhimpit-himpit memenuhi pesawat kargo tersebut yang boleh membawa muatan seberat 85.5 tan atau dalam keadaan selesa, 150 anggota tentera.
Berdasarkan rakaman audio dari dalam pesawat kepada menara kawalan, seramai 800 orang menaiki pesawat tersebut, namun Defence One menegaskan jumlah sebenar adalah 640.
Lapor Daily Mail, kumpulan penduduk yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak itu dilaporkan mengejar pesawat sebelum ia berlepas.
Pesawat C-17 itu merupakan kapal terbang pertama yang terbang keluar dari Kabul dan dilaporkan menuju ke Qatar.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 10 orang maut akibat kekecohan yang berlaku di lapangan terbang Kabul, termasuk yang didakwa terjatuh dari pesawat sedang terbang. – AGENSI