TOKYO: Golongan ibu bapa di Jepun akan menghantar beg berisi beras bersamaan dengan berat anak mereka yang baru dilahirkan kepada saudara-mara yang tidak dapat melawat akibat pandemik Covid-19.
Beg beras tersebut mempunyai pelbagai reka bentuk dengan ada di antaranya menyerupai bayi yang dibalut dengan selimut berserta gambar wajah bayi berkenaan, sekali gus memberikan perasaan kepada saudara-mara seolah-olah mereka sedang memeluk ahli keluarga baharu.
Jumlah berat beras yang diletakkan dalam beg tersebut mengikut berat bayi yang baru dilahirkan dengan beberapa syarikat yang menjalankan perusahaan itu mengenakan bayaran satu yen untuk setiap gram.
Ini bermakna, satu beg beras seberat 3.5 kilogram bersamaan dengan harga 3,500 yen (RM134).
Pengusaha beras, Naruo Ono berkata, dia mendapat idea itu sejak 14 tahun lalu selepas anak lelakinya dilahirkan dan saudara-mara yang jauh tidak dapat melawatnya.
“Jadi, kami putuskan untuk jual beras bersamaan dengan berat bayi baru dilahirkan dan dihantar ke saudara-mara agar mereka berpeluang ‘mendukung ahli keluarga baharu’,” katanya.
Selain itu, beg beras juga terkenal dalam majlis perkahwinan apabila pengantin menyerahkan beg itu berserta gambar mereka ketika kecil kepada ibu bapa masing-masing sebagai penghargaan kerana membesarkan mereka. – AGENSI