PARIS: Kira-kira 160,000 penunjuk perasaan mengadakan protes di seluruh Perancis bagi membantah sistem pas kesihatan yang dilaksanakan di negara itu.
Rata-rata penunjuk perasaan menganggap sistem pas kesihatan yang diumumkan oleh Presiden, Emmanuel Macron sebagai suatu yang tidak adil dan menyekat hak penduduk yang tidak divaksin.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, pihak berkuasa melaporkan sebanyak 222 tunjuk perasaan berasingan pada petang semalam.
Jumlah itu turut merangkumi seramai 14,500 penunjuk perasaan yang mengadakan protes di Paris.
Dilaporkan, 16 orang ditahan dan tiga pegawai polis mengalami kecederaan ringan dalam protes yang memasuki minggu ketujuh.
“Vaksin bukan penyelesaiannya. Kita sepatutnya meneruskan langkah-langkah pencegahan wabak,” kata seorang pesara, Helene Vierondeels yang menyertai protes di Paris.
Di Bordeaux, beberapa penunjuk perasaan enggan membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19, beberapa hari sebelum permulaan tahun sesi persekolahan baharu.
“Jangan jadikan kami sebagai tikus makmal,” kata seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menyertai tunjuk perasaan bersama bapanya.
Di bawah sistem pas yang diperkenalkan secara progresif sejak pertengahan Julai lalu, mana-mana individu yang mahu mengunjungi restoran, teater, pawagam, menaiki kereta api jarak jauh atau memasuki pusat membeli-belah diwajibkan menunjukkan bukti vaksinasi atau keputusan ujian saringan Covid-19 negatif.
Kerajaan menegaskan pas itu amat diperlukan bagi menggalakan pengambilan vaksinasi dan mengelakkan pelaksanaan perintah berkurung kali keempat, dengan jumlah individu belum divaksin merangkumi sebahagian besar pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital. – AFP