WASHINGTON: Komuniti perisik Amerika Syarikat (AS) menemukan jalan buntu mengenai asal usul Covid-19 dan tidak dapat memastikan sama ada virus maut itu dihasilkan dalam makmal atau dari sumber semula jadi.
Menerusi laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, persoalan mengenai dari mana punca koronavirus yang setakat ini sudah meragut 4.6 juta nyawa di seluruh dunia masih belum ‘mampu dijawab’.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti John Hopkins, lebih 633,000 orang maut di AS akibat Covid-19.
Dalam satu kenyataan, Presiden Joe Biden berkata, maklumat penting mengenai asal usul virus maut itu ‘wujud’ di China, namun dari mula, pihak berkuasa negara itu bekerja keras untuk menghalang penyiasatan antarabangsa.
“Dunia berhak untuk dapatkan jawapan muktamad mengenai asal usul Covid-19 dan saya tidak akan berhenti selagi tidak mendapatkan jawapan yang sepatutnya,” tegas Biden.
Beberapa agensi perisikan AS beranggapan koronavirus muncul dari ‘pendedahan semula jadi terhadap haiwan yang dijangkiti’, namun hipotesis itu tidak cukup kukuh manakala agensi lain tidak dapat memberi kesimpulan yang jelas.
Laporan itu menyimpulkan, kumpulan penganalisis tidak mampu menyediakan ‘penjelasan yang terperinci’ mengenai asal usul Covid-19 tanpa maklumat lanjut dari China, seperti sampel klinikal dan data epidemiologi.
China sebelum ini dengan lantang menolak teori menyatakan virus itu muncul dari makmal di Wuhan dan mendakwa sebenarnya ia dihasilkan dari sebuah makmal di Fort Detrick, Maryland pada 2019.
Tidak akan berhenti
Jelas Biden, biarpun laporan itu menemukan jalan buntu, beliau berikrara untuk terus mencari penjelasan yang munasabah dan muktamad.
“Kita akan lakukan apa sahaja untuk mengesan punca sebenar pandemik yang menjejaskan banyak negara di seluruh dunia supaya kita boleh ambil langkah yang wajar untuk elak daripada berulang.
“Sehingga hari ini, China masih menolak untuk bersikap telus mengenai isu berkenaan ketika jumlah korban Covid-19 di seluruh dunia terus meningkat.
“Pentadbiran AS dan sekutu akan terus mencari jawapan sehingga kami perolehinya,” katanya.
Biden juga berjanji akan terus menekan China untuk memberi kerjasama dalam mencari jawapan mengenai asal usul Covid-19. – AGENSI