KABUL: Taliban memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya perlu menanggung akibat jika pasukan tentera mereka masih belum meninggalkan Afghanistan selepas hujung bulan ini.
Jurucakap Taliban, Suhail Shaheen berkata, jika AS atau United Kingdom (UK) mahukan lebih masa untuk melakukan operasi pemindahan rakyatnya, jawapan mereka adalah tidak.
“Kami tidak mahu AS dan sekutunya terus berada di Afghanistan selepas hujung bulan ini atau mereka perlu tanggung akibatnya.
“Berada lebih lama di negara ini umpama mereka ‘terus menjajah’ Afghanistan,” katanya.
Selain itu, sumber memaklumkan, Taliban tidak akan membentuk Kabinet pentadbiran selagi tentera AS dan sekutunya belum meninggalkan negara ini.
Dalam pada itu, operasi pemindahan penduduk terus berdepan dengan kesukaran apabila pasukan keselamatan Afghanistan diserang kumpulan bersenjata pada awal pagi ini menyebabkan seorang maut.
Insiden itu juga menyaksikan tentera AS dan Jerman saling berbalas tembakan dengan kumpulan tersebut. – AFP