WASHINGTON: Beberapa imej satelit yang diperoleh oleh CNN menunjukkan Rusia mungkin membuat persiapan untuk menguji satu lagi peluru berpandu baharu yang dikenali sebagai ‘Skyfall’.
Peluru berpandu itu didakwa direka khas untuk melumpuhkan sistem pertahanan Amerika Syarikat (AS).
Sejumlah imej satelit yang dirakam pada 16 Ogos oleh syarikat pengimejan satelit komersial, Capella Space itu memberi ‘petunjuk kukuh’ Rusia bersiap sedia untuk melakukan ujian peluru berpandu di sebuah lokasi yang tidak diketahui berhampiran Arctic Circle.
Perkara itu turut disahkan oleh pakar di Middlebury Institute of International Studies Center for Nonproliferation Studies yang menganalisa imej satelit berkenaan.
“Menggunakan reaktor nuklear, pada prinsipnya memberikan jarak yang tidak terbatas untuk peluru berpandu terbang di bawah atau berhampiran radar pertahanan peluru berpandu AS,” kata Jeffrey Lewis.
Katanya, Rusia pernah melakukan sekurang-kurangnya sekali ujian pelancaran peluru berpandu di lokasi yang sama pada November 2017.
Kemudian, Moscow dilaporkan melancarkan sejumlah ujian peluru berpandu dalam tempoh beberapa bulan, namun tiada satu pun yang berjaya.
Rusia dilaporkan semakin aktif meningkatkan strategi senjata nuklear untuk menentang AS
Menurut sumber, pihak berkuasa AS menyedari tentang perkara tersebut, namun, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Kementerian Pertahanan Rusia tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.