ISTANBUL: Turki menghantar beberapa kapal untuk membantu memindahkan penduduk dan kenderaan dari bandar utara di Laut Hitam yang dilanda banjir.
Lapor Al Jazeera, angka kematian akibat banjir di wilayah itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 62 orang dengan ramai mangsa masih hilang.
Hujan lebat melanda wilayah itu pada Rabu lalu menyebabkan bencana banjir sehingga memusnahkan kediaman penduduk, jambatan, kenderaan dan merosakkan jalan raya.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki, seramai 52 orang terbunuh di wilayah Kastamonu, sembilan maut di Sinop dan seorang di Bartin.
Berdasarkan kenyataan pejabat Gabenor di Bartin, sebanyak 13 jambatan rosak dalam bencana itu dan sekurang-kurangnya 45 bangunan mengalami kerosakan teruk.
Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu berkata, seramai 77 orang masih hilang dalam kejadian itu.
Katanya, lapan mangsa sedang menerima rawatan di hospital.
“Kami sudah menghantar 20 tan makanan menerusi helikopter.
“Para pegawai cuba memenuhi keperluan mangsa dari segi kos pengebumian sehingga penilaian kerosakan bangunan,” katanya. – AGENSI