Amah dibicara, campur darah haid, air kencing dalam makanan majikan - Utusan Malaysia

Amah dibicara, campur darah haid, air kencing dalam makanan majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 44 tahun yang dituduh mencampur air kencing dan darah haid ke dalam makanan majikannya, dibicarakan di sebuah Mahkamah Negara hari ini.

Berita Mediacorp melaporkan, warga Filipina, Rowena Ola Canares mencabar satu tuduhan melakukan perbuatan nakal.

Majikannya, seorang jurutera perisian yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya, memberi keterangan di mahkamah pada pagi tadi tentang bagaimana beliau mendapat tahu mengenai kesalahan tersebut apabila bekas teman lelaki Canares menghantar pesanan teks kepada wanita itu melalui WhatsApp.

Namun peguam Canares berhujah bahawa amah itu berbohong kepada bekas teman lelakinya mengenai perbuatan itu dan pada hakikatnya tidak melakukan kesalahan tersebut.

Bekas teman lelakinya meninggal dunia akibat barah tahap akhir.

Canares mula bekerja bersama keluarga tersebut pada Mei 2017. Selepas dua tahun, kontraknya dilanjutkan selama dua tahun lagi.

Tugasnya termasuk memasak untuk keluarga majikannya di flat mereka di Sengkang dan kadangkala menjaga anak-anak majikannya yang kini berusia tujuh dan tiga tahun serta isteri dan ibu mentua majikannya.

Canares bekerja dari pukul 6.30 pagi hingga 10 malam setiap hari dan lazimnya diberi cuti pada Ahad, menurut majikannya.

Majikannya memberitahu mahkamah bahawa pada kira-kira pukul 11.15 malam, 15 Disember 2019, beliau menerima pesanan teks WhatsApp dari nombor yang tidak dikenali.

Beliau dapat cam muka bekas teman lelaki Canares melalui gambar profil pengirim itu kerana pembantu rumahnya itu pernah menunjukkan kepada beliau dan isterinya gambar lelaki berkenaan.

“Beliau menghantar mesej (kepada saya dan isteri saya) yang mengatakan bahawa Canares membubuh darah haid dan air kencing ke dalam makanan yang dihidangkan kepada keluarga saya. Saya terkejut,” kata lelaki itu.

Petikan mesej itu yang dihantar oleh bekas teman lelaki Canares kepada majikannya, ditayangkan di mahkamah, yang memaparkan Canares sebagai berkata: “Sebelum pergi cuti ke India, aku lakukan satu kali.”

Majikannya menjelaskan di mahkamah bahawa keluarga beliau pernah pergi cuti pada Ogos tahun itu selama dua minggu.

Pada malam yang sama, majikan Canares dan isterinya pergi ke balai polis berdekatan untuk melaporkan hal itu.

Dua pegawai polis mengunjungi rumah mereka lalu bercakap dengan Canares.

“Pada satu ketika, apabila pegawai polis melakukan siasatan, saya terdengar dia katakan bahawa dia melakukan perbuatan itu, membubuh kedua-dua bahan itu ke dalam makanan saya.

“Katanya, ‘minta maaf tuan, minta maaf puan’, berkali-kali. Tentu sekali, saya tidak menerima permohonan maafnya,” kata majikannya itu.

Canares tidak diberkas pada lewat petang itu. Dia tinggal di rumah majikannya selama beberapa hari sehingga 26 Disember, apabila seorang pegawai penyiasat memberitahu majikannya untuk membawa wanita itu ke ibu pejabat Divisyen Polis Woodlands.

Menurut majikannya, beliau tidak boleh membawa Canares ke agensi pembantu rumah kerana beliau menggajikannya secara langsung.

Perbicaraan kes diteruskan pada lewat petang ini.

Jika didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan nakal, Canares boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya