LONDON: Pasukan tentera Britain diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menghantar bekalan barangan ke pasar raya ketika negara ini berdepan dengan masalah kekurangan pemandu trak.
Lapor Metro, dianggarkan kekurangan itu mencecah 100,000 pemandu trak di seluruh negara.
Kira-kira 2,000 anggota tentera dijangka dikerahkan untuk mengedarkan barangan termasuk keperluan asas dan ubat-ubatan ke semua pasar raya dalam tempoh lima hari.
Krisis itu berlaku susulan situasi ‘pingdemic’ yang menyaksikan ribuan pemandu trak terpaksa menjalani kuarantin kendiri menerusi aplikasi kesihatan NSH.
Kuarantin itu dijalankan selepas mereka dikesan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Keadaan itu juga menyaksikan banyak rak kosong di hampir semua pasar raya Britain, sekali gus menyebabkan pembeli sukar mendapatkan bekalan keperluan, termasuk makanan.
Selain itu, anggota tentera yang terlibat juga akan menghantar bekalan barangan ke hotel yang terjejas.