WASHINGTON: Pengendali penginapan dalam talian, Airbnb mengumumkan akan membantu menyediakan tempat tinggal bagi 20,000 pelarian Afghanistan.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada organisasi amal Airbnb.org.
Lapor The Guardian, Airbnb akan bekerjasama dengan pemilik rumah di bawah syarikat itu yang mahu menawarkan tempat tinggal mereka secara percuma atau dengan harga diskaun kepada pelarian tersebut.
Jelas laporan itu, organisasi amal akan membiayai bayaran selebihnya dan perbelanjaan operasi yang lain.
Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Airbnb, Brian Chesky juga akan membiayai inisiatif tersebut.
“Perpindahan dan penempatan semula pelarian Afghanistan di Amerika Syarikat (AS) serta negara lain merupakan antara krisis kemanusiaan terbesar pada zaman ini.
“Saya berharap ini memberi inspirasi kepada pemimpin dan ahli perniagaan lain untuk melakukan perkara sama,” kata Brian.
Setakat ini, Airbnb belum memperincikan beberapa butiran mengenai inisiatif itu.
“Syarikat itu belum mengesahkan lokasi atau seberapa lama akan membantu menyediakan tempat tinggal kepada pelarian tersebut.
“Sebaliknya, syarikat itu akan bekerjasama dengan agensi yang menyediakan tempat tinggal dan rakan kongsi lain bagi menjayakan inisiatif tersebut,” jelas laporan tersebut.- AGENSI