SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan dengan ancaman keselamatan yang besar kerana meneruskan latihan ketenteraan bersama yang dijangka bermula hari ini.
Amaran itu disampaikan oleh adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Yo-jong.
Menerusi kenyataan, Yo-jong menyifatkan latihan ketenteraan itu sebagai ‘tidak dialu-alukan dan tindakan memusnahkan’ serta dilihat boleh mengancam penduduk Korea Utara dan memburukkan lagi situasi di semenanjung Korea.
“AS dan Korea Selatan akan berdepan dengan lebih banyak ancaman keselamatan yang besar kerana tidak mengendahkan amaran kami.
“Korea Selatan pula dilihat ‘tidak menghargai’ usaha untuk memulihkan hubungan antara Seoul dan Pyongyang yang dibuat sebelum ini,” katanya.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan semalam memaklumkan, latihan ketenteraan itu belum dimuktamadkan, manakala AS juga enggan mengulas lanjut. – REUTERS