DAKAR: Seramai 47 pendatang dikhuatiri maut di perairan Mauritania selepas sebuah bot ditemukan hanyut bersama tujuh mangsa yang masih hidup.
Seorang pegawai dari agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan perkara itu.
Menurut Nicolas Hochart dari Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), bot itu dipercayai meninggalkan wilayah Laayoune Sahara pada 3 Ogos lalu dan menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol.
Namun, katanya, bot itu mengalami masalah enjin sehingga menyebabkan hanyut kira-kira dua minggu sebelum dikesan oleh pengawal pantai Mauritania di perairan Nouadhibou.
Jelas beliau, berdasarkan keterangan mangsa, seramai 54 orang termasuk dua kanak-kanak berumur di bawah tiga tahun dan seorang remaja perempuan menaiki bot tersebut.
Menurut IOM, pendatang itu berasal dari Mali, Senegal, Ivory, Mauritania dan Guinea.
Pasukan pengawal pantai memaklumkan enam lelaki dan seorang wanita masih hidup ketika ditemukan di bot tersebut.
Jelasnya, mereka dirawat oleh pasukan Palang Merah dan empat orang yang berada dalam keadaan kritikal dimasukkan ke hospital. – AFP