WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 22 orang maut dan puluhan lagi hilang dalam insiden banjir kilat di Tennessee, Amerika Syarikat (AS).
Lapor BBC, pasukan penyelamat masih mencari puluhan mangsa di kawasan Humphreys County yang terletak di sebelah barat Nashville.
Banjir yang melanda pada Sabtu lalu, dilaporkan menenggelamkan hampir seluruh jalan dan menyebabkan bekalan elektrik dan talian telefon terputus.
Pasukan penyelamat juga sedang mencari mangsa di kawasan teruk terjejas bencana termasuk dibawah serpihan runtuhan rumah yang dihanyutkan.
Nama mangsa yang hilang disenaraikan di papan kenyataan di pusat kecemasan di Humphreys County.
Dilaporkan, sebahagian besar mangsa hilang berasal dari bandar Waverly.
Gabenor Tennessee, Bill Lee juga melawat kawasan terjejas pada Ahad lalu.
Lebih 120,000 rumah dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik di kawasan itu selepas ribut melanda di Pulau Rhode pada Ahad lalu. – AGENSI