KANO: Seramai 21 orang maut dalam satu kemalangan jalan raya di wilayah Jigawa, utara Nigeria, semalam.
Kemalangan sering berlaku di Nigeria berikutan keadaan jalan raya yang kurang baik selain tabiat suka memandu laju dan secara berbahaya serta membawa muatan berlebihan.
Musim hujan yang menyebabkan ribut petir dan banjir di seluruh negara itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini juga meningkatkan risiko kemalangan.
“Kira-kira pukul 6 pagi (waktu tempatan) kami menerima panggilan kecemasan dari Kampung Radabi bahawa kemalangan berlaku di jalan Gwaram-Basirka,” kata jurucakap polis Lawan Shiisu dalam kenyataan.
Jelasnya, sebuah bas dan lori yang membawa penumpang terjunam ke dalam pembentung pecah yang penuh dengan air.
Tambah Shiisu, mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran yang mana seramai 21 orang disahkan meninggal dunia.
Katanya, salah seorang penumpang yang berusia 26 tahun, terselamat dalam kemalangan itu. – AFP