ANKARA: Bencana banjir yang melanda utara Turki ketika ini meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan selepas hujan lebat melanda wilayah Bartin, Kastamonu, Sinop dan Samsun.
Siaran televisyen menunjukkan penduduk yang terkandas diselamatkan dari bumbung rumah oleh pasukan penyelamat menggunakan helikopter dan banyak jambatan runtuh akibat aliran sungai yang tinggi serta deras.
Pihak berkuasa Turki memaklumkan, 15 orang maut di Kastamonu, manakala dua lagi di Sinop dengan seorang dilaporkan hilang.
Lebih 1,000 anggota penyelamat dikerah ke beberapa lokasi terjejas akibat banjir dan Palang Merah Turki mengedarkan bungkusan makanan kepada penduduk.
Puluhan perkampungan juga terputus bekalan elektrik dan mengalami gangguan talian telefon.
Turki sebelum ini bergelut dengan kebakaran hutan yang menyaksikan ratusan ribu hektar kawasan musnah, selain banyak kediaman turut hangus terbakar.
Menteri Agrikultur dan Perhutanan Turki, Bekir Pakdemirli menyifatkan bencana banjir yang berlaku ketika ini sebagai paling buruk dalam tempoh 50 atau 100 tahun. – AGENSI