NKANDLA: Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma akhirnya menyerah diri kepada polis untuk memulakan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya kerana menghina mahkamah.
Menurut yayasan pemimpin itu, Zuma telah ke penjara berhampiran kediamannya di wilayah KwaZulu-Natal pada lewat semalam.
“Presiden Zuma memutuskan untuk mematuhi perintah penahanan,” jelas yayasan itu menerusi kenyataan.
Terdahulu, polis menegaskan sedia untuk menahan pemimpin berusia 79 tahun itu sekiranya masih enggan menyerah diri untuk dipenjarakan.
Minggu lalu, Zuma dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan selepas beliau berulang kali tidak hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung tuduhan rasuah terhadapnya.
Hukuman itu mencetuskan kekecohan di Afrika Selatan sehingga tarikh akhir ditetapkan sehingga tengah malam Rabu untuk penahanannya.
Sebelum ini, mahkamah memberikan masa selama lima hari kepada Zuma menyerahkan diri untuk dipenjarakan yang mana tarikh akhir untuknya berbuat demikian adalah pada Ahad lalu. – AGENSI