JEDDAH: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji usaha Arab Saudi dalam menguruskan ibadah haji dengan langkah pencegahan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Menerusi ciapan dalam Twitter, Tedros berkata, WHO menyambut baik pelan kesihatan awam serta langkah yang diambil Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan penduduk setempat.
Jelasnya, langkah yang diambil oleh negara itu semasa musim haji perlu menjadi contoh kepada negara lain yang mahu kembali menjalani kehidupan normal serta mengadaptasi suasana baharu semasa pandemik.
Dalam pada itu, Pusat Pengukuran Prestasi Nasional Arab Saudi (Adaa) mula mendapatkan maklum balas daripada jemaah haji tahun ini.
Pengarah Urusan Adaa, Rashid Abdullah Al-Qaoud berkata, proses itu bertujuan mengenal pasti tahap kepuasan jemaah dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan semasa musim haji.
Katanya, langkah itu juga membantu agensi awam meningkatkan perkhidmatan menerusi data yang diperoleh.
Jelasnya, lebih 60,000 tinjauan akan dijalankan secara bersemuka, dalam talian dan melalui panggilan telefon bagi mengukur kepuasan jemaah terhadap 29 perkhidmatan menerusi 11 agensi kerajaan.
“Perkhidmatan itu merangkumi pengeluaran permit haji, kesediaan fasiliti sejurus ketibaan serta pengalaman mengunjungi Masjidil Haram dan tempat suci lain,” katanya.
Menurut Rashid, soal selidik itu dijalankan melibatkan tujuh lokasi berbeza yang dikunjungi oleh jemaah haji. – AGENSI