ORLANDO: Seorang wanita bernama Nellie-Jean Robinson mengakui dia berbangga dengan keadaan wajahnya yang berjambang seperti lelaki.
Pengalisis kewangan berusia 35 tahun itu memberitahu, dia menghidap masalah hormon tidak seimbang yang dinamakan ‘hirsutism’ iaitu menyebabkan wajahnya ditumbuhi rambut berlebihan.
Keadaan itu juga sering dihadapi golongan wanita yang menghidap sindrom polisistik ovari (PCOS) dan Nellie-Jean juga mempunyai masalah tersebut.
Selepas beberapa tahun malu dan tertekan dengan keadaan itu, selain perlu bercukur setiap hari, Nellie-Jean akhirnya membuat keputusan untuk tampil sebagai diri sendiri.
Wanita itu mula memuat naik kisahnya dalam aplikasi TikTok dan mendapat sambutan yang baik daripada pengguna media sosial tersebut.
Jelas Nellie-Jean, keadaanya berjambang dan berjanggut membuatkan dia sukar untuk mendapat teman lelaki.
“Saya menghabiskan masa selama beberapa tahun membenci diri sendiri kerana keadaan ini dan sering menyembunyikannya daripada orang ramai.
“Saya juga sukar dapat teman lelaki kerana saya bimbang dia akan terkejut bila melihat wajah saya yang bermisai dan berjambang,” katanya.
Wanita itu memaklumkan dia perlu bercukur setiap pagi dan mengenakan solekan tebal.
Kini, Nellie-Jean tidak mahu lagi berselindung dan ingin menjadi dirinya yang sebenar.
“Makin saya cuba sembunyi, makin ada yang tidak kena. Saya sedar saya perlu hadapi keadaan ni secara nyata.
“Pada mulanya saya tidak sangka keadaan akan menjadi serius seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata pengguna TikTok memberi sokongan kepada Nellie-Jean dan menyatakan keadaan itu tidak pelik seperti yang disangkanya. – AGENSI