BURLINGTON: Vermont menjadi negeri paling banyak penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19 di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Sebanyak 82 peratus penduduk brusia 12 tahun ke atas di Vermont yang merupakan negeri kedua mempunyai paling sedikit penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
“Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan Vermont tempat paling selamat di AS, malah mungkin di dunia,” kata pesuruhjaya kesihatan, Mark Levine.
Menurut sumber, kejayaan yang diperoleh di Vermont ketika ini adalah hasil pihak berkuasa tempatan yang menubuhkan banyak pusat pemberian vaksin, pemimpin politik yang dipercayai dan paling penting, tanggungjawab penduduk untuk melindungi diri mereka dari jangkitan koronavirus.
“Penduduk Vermont amat pentingkan kesihatan mereka, selain mudah bekerjasama dan memahami setiap keperluan,” kata Levine kepada AFP.
Hampir 94 peratus daripada 640,000 penduduk di Vermont merupakan komuniti kulit putih dan menjadi antara negeri yang merekodkan tahap pendidikan tertinggi di AS.
Negeri ini hanya mencatatkan sebanyak 250 kematian akibat Covid-19 sejak pandemik bermula di negara ini.
Berikutan lebih 80 peratus penduduknya sudah divaksin, pihak berkuasa tempatan mula melonggarkan kebanyakan sekatan Covid-19, termasuk pemakaian pelitup muka tidak lagi menjadi kewajipan.
Sementara itu, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 diseluruh AS ketika ini direkodkan lebih 605,000 kes.