Varian Lambda dikesan di 31 negara - Utusan Malaysia

Varian Lambda dikesan di 31 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Varian Covid-19 yang pertama kali dikesan di Peru, kini dilaporkan di 31 negara.

Lapor Daily Mail, Australia menjadi negara terbaharu untuk mengesan kes Covid-19 membabitkan varian Lambda atau dikenali sebagai C.37.

Berdasarkan pangkalan data genomik AusTrakka, varian itu dikesan pada seorang pelancong yang menjalani kuarantin di sebuah hotel di New South Wales pada April lalu.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai mutasi tersebut selepas ia dikesan di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

Varian Lambda turut dikesan di beberapa negara antaranya Chile, Mexico, Argentina, Sepanyol, Ecuador, Israel, Colombia, Perancis dan Itali.

Varian Lambda yang dipercayai dikesan di Peru pada tahun lalu, dikatakan pantas merebak sehingga merangkumi kira-kira 81 peratus kes di negara Amerika Selatan.

Para doktor yang memantau perkembangan mutasi itu berasa bimbang C.37 mungkin lebih mudah menular berbanding versi varian lain termasuk yang dikesan di India.

Bagaimanapun, saintis masih sedang mengkaji ciri-ciri varian itu termasuk tahap keseriusan penyakit dan risiko jangkitan.

Setakat ini, mereka masih belum mendedahkan sebarang bukti varian itu lebih mudah berjangkit berbanding varian sedia ada termasuk Delta dan Delta Plus.

Malah, tiada bukti menunjukkan bahawa varian Lambda lebih agresif sehingga boleh mengakibatkan kes kematian tinggi meskipun beberapa doktor mengaitkan penularan di Peru dengan kadar kematian
terburuk dicatatkan di negara itu.

Seorang profesor dari Universiti Cayetano Heredia di Lima, Pablo Tsukayama berkata, mutasi varian itu `merebak secara pantas’ di Peru apabila ia merangkumi kira-kira 82 peratus kes semasa.

Beliau memberitahu Financial Times bahawa varian Lambda dikenal pasti dalam satu daripada 200 sampel pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, lapor Mirror, satu kajian baharu mendedahkan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan Moderna berkesan dalam menentang varian Lambda.

Kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidik dari New York University Grossman School of Medicine menunjukkan suntikan vaksin tersebut mampu mengurangkan risiko penyakit serius yang disebabkan oleh varian berkenaan.

Varian Lambda kini dinamakan sebagai varian ketujuh yang dipantau oleh WHO. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya