PARIS: Vaksin Covid-19 keluaran Sinovac dilaporkan kurang efektif menentang varian Gamma yang pertama kali dikesan di Brazil.
Kumpulan penyelidik mendapati antibodi yang dibangunkan oleh vaksin tersebut kurang berkesan menentang varian Gamma.
Kapasiti Gamma yang boleh menembusi sistem imunisasi individu yang sudah divaksin secara tidak langsung menunjukkan ‘virus itu masih boleh berkembang dalam badan yang sudah divaksin’.
Malah, keadaan itu juga boleh berlaku di negara yang sudah menjalankan program vaksinasi secara menyeluruh.
Dalam kajian yang dilakukan, pengkaji di Universiti Campinas di Brazil mendedahkan varian Gamma dan Beta terhadap antibodi dalam plasma darah daripada 53 individu yang sudah divaksin dan 21 orang yang dijangkiti Covid-19.
Dalam kumpulan individu yang sudah divaksin, seramai 18 orang hanya menerima satu dos suntikan vaksin, manakala 20 lagi terima dos lengkap.
Kumpulan penyelidik mendapati, varian Gamma boleh menembusi antibodi hampir kesemua responden yang sudah menerima satu dos suntikan vaksin, termasuk mereka yang menerima vaksin pada 2020.
Kajian yang diterbitkan dalam Lancet Microbe itu juga mendapati, antibodi yang dihasilkan daripada jangkitan Covid-19 sebelum ini perlu sembilan kali ganda lebih tinggi untuk menentang varian Gamma.
Bagaimanapun, para saintis bersetuju bahawa vaksin yang digunakan berkesan mencegah komplikasi jangkitan serius serta kematian akibat Covid-19. – AFP