MOSCOW: Kementerian Pertahanan Ukraine dihujani pelbagai kritikan termasuk dari anggota Kabinet sendiri berhubung keputusan mengarahkan pasukan tentera wanita memakai kasut bertumit tinggi ketika menyertai perbarisan utama.
Dalam satu kenyataan bersama melibatkan tiga anggota Kabinet Ukraine, termasuk Menteri Hal Ehwal Veteran Tentera, Yulia Laputina, mereka menegaskan perbarisan adalah untuk menunjukkan keupayaan ketenteraan sesebuah negara.
“Perarakan dan perbarisan ketenteraan tidak seharusnya dijadikan isu stereotaip atau seksisme.
“Sebanyak 57,000 anggota tentera wanita di negara ini seoatutnya memegang mesingan, bukannya memakai kasut tumit tinggi,” menurut kenyataan itu.
Pada minggu lepas, kementerian pertahanan negara ini mengumumkan mengenai etika pemakaian kaut bagi menyertai perarakan ketenteraan yang dirancang pada 24 Ogos ini sempena ulang tahun pembebasan Ukraine dari Kesatuan Soviet yang ke-30.
Sehubungan itu, Menteri Pertahanan Ukraine, Andriy Taran menyatakan beliau sudah mengarahkan pegawia terlibat untuk meneliti kasut bersesuaian yang boleh dipakai anggota tentera wanita selain kasut tumit tinggi.
Ketenteraan Ukraine sehingga kini enggan memberi kenyataan berhubung isu berkenaan. – AP