JAKARTA: Rakyat negara ini tidak menghiraukan amaran kesihatan apabila berpusu-pusu ke farmasi untuk mendapatkan ubat ivermectin yang dipercayai boleh merawat jangkitan Covid-19.
Ubat itu kebiasaannya digunakan untuk merawat jangkitan kutu dan parasit lain.
Namun, ubatan tersebut mula menjadi perhatian selepas tular dalam media sosial, selain ada ahli politik dan pempengaruh media sosial yang mendakwa ivermectin berkesan merawat Covd-19.
Ketua pemasaran sebuah farmasi di sini, Yoyon memaklumkan, ramai orang datang ke farmasi untuk membeli ubat tersebut kerana mereka percaya keberkesanannya merawat koronavirus.
“Ivermectin laris di semua farmasi dan disebabkan permintaan yang tinggi, harga ubat itu melambung dari 175,000 rupiah (RM50) kepada 300,000 rupiah (RM86) sebotol.
“Farmasi kami juga sudah kehabisan stok berikutan ramai yang datang membeli,” katanya.
Terdahulu, seorang pakar perubatan ‘holistik’, Reza Gunawan menerusi Twitter memaklumkan kepada 350,000 pengikutnya bahawa ubat tersebut berkesan dan selamat digunakan merawat Covid-19, sekali gus menamatkan pandemik di seluruh dunia.
Pengasas media Asumsi, Iman Sjafei juga menggunakan Twitter memberitahu, lima rakannya pulih dari Covid-19 selepas mengambil ivermectin.
Seorang penduduk, Sylvie Bernadi memberitahu, dia membeli ubat itu selepas mengetahui tentangnya menerusi Whatsapp.
Sementara itu, pengeluar ubatan tersebut, Merck menyangkal dakwaan ivermectin berkesan merawat Covid-19 berdasarkan kajian saintifik dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan bahan berkenaan. – AFP