BANGKOK: Kerajaan Thailand memaklumkan, vaksin Covid-19 yang berasaskan protein tumbuh-tumbuhan, atau vaksin sub unit yang menggunakan kaedah teknologi sama dengan vaksin keluaran Novavax dari Amerika Syarikat (AS) bakal dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Jurucakap kerajaan, Ratchada Thanadirek berkata, kilang yang diberi tangggungjawab untuk menghasilkan vaksin tersebut sudah bersedia melakukan proses pengeluaran.
Katanya, vaksin itu dihasilkan oleh syarikat baharu di negara ini, Baiya Phytopharm Co Ltd.
“Pasukan penyelidik akan menyerahkan butiran vaksin kepada Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan Thailand bagi membolehkan penelitian dan pemeriksaan dilakukan terhadap kilang penghasilan tersebut.
“Vaksin itu dijangka dikeluarkan beberapa minggu akan datang dan menjalani ujian klinikal terhadap manusia pada September ini,” katanya kepada Nation Thailand.
Pada bulan depan, pasukan penyelidik akan mencari kira-kira 100 sukarelawan yang mempunyai kesihatan baik, berusia 18 hingga 55 tahun dan 65 hingga 75 tahun bagi melakukan ujian klinikal.
Sebaik sahaja vaksin itu lulus proses berkenaan, ia dijangka dihasilkan untuk kegunaan penduduk negara ini pada pertengahan 2022.
Vaksin itu bakal diberikan sebanyak dua dos dalam tempoh tiga minggu, selain dijual pada harga 300 hingga 500 baht (RM38-RM64) bagi setiap dos.