BAGHDAD: Apabila suhu panas direkodkan setinggi 52 darjah Celsius dalam minggu ini di Iraq, Ali Karrar tidak mempunyai pilihan selain meletakkan bayinya selama beberapa minit di dalam peti sejuk.
Namun, apabila bekalan elektrik pula terputus semalam, penduduk mula gelisah memikirkan bagaimana mereka boleh menyelamatkan diri dari cuaca panas melampau ini.
Antara paling terkesan dengan keadaan itu adalah keluarga miskin yang tinggal di pekan al-Hillah di selatan Iraq yang tidak mempunyai kemudahan alat pendingin hawa, kipas mahupun generator sendiri.
Sebanyak empat wilayah selatan Iraq terputus bekalan elektrik sejak Khamis lalu, termasuk Basra yang menempatkan pelabuhan utama negara ini.
Penduduk Basra, Meshaal Hashem berkata, anak-anaknya tidur di atas lantai dan cuba kekalkan suhu sejuk, namun dia dan isterinya tidak mampu melelapkan mata memikirkan keadaan mereka.
Di bandar Diwaniyah, Rahi Abdelhussein membeli beberapa bungkus ais untuk menyejukkan anak-anaknya.
Situasi yang berlaku di Iraq ketika ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk yang kebanyakannya menyalahkan kerajaan yang didakwa tidak peka dengan keadaan rakyat.
Pakar politik, Sajad Jiyad berkata, semua kementerian dalam kerajaan Iraq ketika ini saling menyalahkan antara satu sama lain setiap kali berlaku masalah menimpa rakyat.
“Ahli politik hanya akan kata ‘kita perlu hidup dengan keadaan begini dan tiada apa boleh dilakukan’,” katanya.
Pihak berkuasa di Baghdad juga mendakwa terdapat segelintir sahaja penduduk yang membayar bil utiliti, selain kegiatan mencuri elektrik semakin berleluasa. – AFP