BEIJING: Sepasang suami isteri di China sanggup membawa anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun ke sebuah pulau terpencil untuk `memberi pengajaran’ kepada anaknya yang didakwa suka melawan cakap mereka.
Lapor Oddity Central, polis di bandar Weihai berkata, pihaknya dimaklumkan oleh sekumpulan nelayan mengenai kehadiran seorang remaja perempuan di pulau tersebut.
Menurut polis, remaja itu ditemukan di pulau terpencil, kira-kira satu kilometer dari pantai berdekatan.
Katanya, remaja itu meminta bantuan daripada nelayan tersebut dengan mendakwa ibu bapanya telah memaksa dan membawanya ke pulau berkenaan.
Remaja itu juga mendakwa telah merayu beberapa kali kepada ibu bapanya untuk membawanya pulang semula ke pantai.
Jelas polis, selepas tiba di pulau itu, mereka menemukan remaja tersebut bersama ibu bapanya.
Menurut polis, pihaknya mendapati ibu bapa membawa remaja tersebut ke pulau terpencil kerana mahu mendidik anak mereka mengenai kesukaran hidup.
“Ibu bapa remaja itu menyatakan anak perempuan mereka mempunyai tabiat suka melawan, mudah marah, enggan mematuhi arah dan tidak mahu pergi ke sekolah.
“Sudah banyak kali ibu bapanya cuba menasihati remaja perempuan itu tetapi dia tetap degil. Mereka merasakan anaknya mensia-siakan kehidupannya.
“Jadi, mereka terpaksa mengambil langkah drastik dengan melakukan demikian,” katanya. – AGENSI