LONDON: Seorang wanita sanggup menyimpan pelbagai jenis makanan segera yang dibelinya bagi melakukan kajian mengenai berapa lama kesemua makanan itu boleh ‘bertahan’, sekali gus menunjukkan kesannya terhadap kesihatan.
Berdasarkan video dalam aplikasi Tiktok yang dimuat naik oleh pengguna dengan nama @elifgkandemir, dia memberitahu, ibunya menyimpan pelbagai jenis makanan segera seperti nuget, piza, donut, kentang goreng dan roti bawang putih selama setahun hingga dua tahun.
Menurut gadis itu, ibunya merupakan pakar nutrisi yang membuat kajian mengenai makanan segera.
Video yang dirakamnya menunjukkan sejumlah laci berisi makanan segera yang disimpan oleh ibunya di dalam kabinet dapur rumah mereka.
“Kesemua makanan segera yang disimpan oleh ibu saya ini merupakan ‘makanan ruji’ yang diamalkan oleh 80 peratus penduduk di United Kingdom.
“Ibu saya merupakan pakar nutrisi yang berusaha meningkatkan kesedaran orang awam mengenai bahaya obesiti,” katanya.
Kemudian, gadis itu menerangkan tidak salah untuk menikmati makanan segera, namun perlu pada kuantiti yang berpada dan lebih elok sekiranya amalkan pemakanan seimbang.