ISTANBUL: Setahun lalu (24 Julai 2020), merupakan momen penuh bersejarah bagi Turki ketika Hagia Sophia ‘memudarkan’ statusnya sebagai muzium dan dikembalikan fungsinya menjadi Masjid Besar Hagia Sophia.
Daily Sabah melaporkan, biarpun ‘dikekang’ dengan penularan Covid-19, Hagia Sophia tetap popular sebagai destinasi pelancongan, dari penduduk tempatan mahupun pengunjung luar dan telah menerima lebih daripada tiga juta pengunjung sepanjang tahun lalu.
Pemangku Mufti Istanbul, Mustafa Yavuz berkata, sama seperti Masjid Biru, jumlah pengunjung ke Hagia Sophia dijangka meningkat selepas larangan penerbangan dari beberapa negara berakhir.
Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul. Ia kemudian menjadi masjid dari 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.
Salah satu bangunan bersejarah yang paling banyak dikunjungi di Turki oleh pelancong domestik dan antarabangsa, Hagia Sophia telah dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia UNESCO pada 1985.
Pada 10 Julai 2020, mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang telah menjadikan Hagia Sophia menjadi muzium, membuka jalan untuk berfungsi sebagai masjid setelah 86 tahun.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dianggap sebagai pemimpin paling berani apabila bertegas mahukan Hagia Sophia kembali dihidupkan sebagai masjid.
Hagia Sophia menerima kira-kira 5,000 pengunjung pada hari kerja dan kira-kira 12,000 pada hujung minggu, sepanjang 2020 dan tahun ini dan jumlah itu meningkat ketika waktu solat.
Mustafa berkata, semasa solat Jumaat, jumlah jemaah tiga kali ganda dan kadang-kadang lebih banyak lagi, dengan jemaah yang besar menunaikan solat di halamannya dan di seberang Dataran Sultanahmet di mana Hagia Sophia berada. Selain solat, masjid juga mengadakan kelas hadis dan tafsir atau tafsiran al-Quran.