SYDNEY: Bandar raya ini merekodkan jumlah kes jangkitan Covid-19 tertinggi dalam tempoh beberapa bulan, biarpun sudah melaksanakan hampir dua minggu perintah berkurung.
Sydney merekodkan sebanyak 38 kes semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes melibatkan varian Delta adalah 370.
Pihak berkuasa Australia memaklumkan, aktiviti kunjung-mengunjung dan pertemuan sesama komuniti menjadi pemicu utama peningkatan kes jangkitan di bandar raya ini.
“Tolonglah patuhi semua sekatan sekatan dan peraturan yang ditetapkan dalam perintah berkurung ketika ini.
“Hentikan aktiviti kunjung-mengunjung, tidak kira sama ada secara tertutup mahupun di tempat terbuka,” kata Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian.
Jelas beliau, masyarakat yang mempunyai gejala jangkitan koronavirus dan tidak mematuhi sekatan Covid-19 turut menyumbang kepada peningkatan kes.
Sydney yang menempatkan kira-kira lima juta penduduk kini menjalani perintah berkurung sehingga 17 Julai ini.
Di bawah pelaksanaan tersebut, penduduk dibenarkan keluar rumah untuk membeli barangan keperluan, bersenam dan urusan penjagaan.
Premis perniagaan seperti restoran dan kedai masih beroperasi.
Pada awal minggu ini, pihak berkuasa terpaksa melanjutkan perintah berkurung selama seminggu lagi berdasarkan trend jangkitan Covid-19 di bandar ini.
Situasi yang berlaku ketika ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk terhadap program vaksinasi yang disifatkan terlalu perlahan.
Dianggarkan kurang 10 peratus penduduk Australia sudah menerima vaksin setakat ini.