FLORIDA: Ketika operasi mencari mangsa masih berterusan, beberapa persoalan tercetus mengenai punca kondominium setinggi 12 tingkat runtuh di Surfside, berhampiran Miami di Florida.
Para pakar yang mengumpul maklumat di lokasi kejadian perlu mempertimbangkan pelbagai kemungkinan terdiri daripada kerosakan struktur sehingga faktor alam sekitar.
Malah, pakar juga perlu menilai sama ada gabungan faktor itu mungkin menyebabkan runtuhan bangunan berusia 40 tahun berlaku secara tiba-tiba.
RAKAMAN VIDEO
Video dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kondominium berdekatan menunjukkan bangunan itu tidak runtuh sekali gus tetapi secara berperingkat.
Runtuhan pertama berlaku pada blok tengah bangunan menghadap ke selatan sebelum bahagian berhadapan utara runtuh tiga saat kemudian.
Lima saat kemudian pula, bahagian bangunan yang berhadapan timur pula runtuh.
Beberapa pakar yang melihat rakaman itu percaya runtuhan awal berlaku di pangkalan bangunan, sekitar kawasan kolam renang di hadapan bahagian tengah yang menghadap arah selatan.
Berdasarkan laporan, seorang penduduk bernama Cassie Stratton yang dalam perbualan telefon dengan suaminya sempat menyaksikan beberapa saat sebelum bangunan itu runtuh.
LAPORAN KAJIAN LAPANGAN STRUKTUR 2018
Laporan dikeluarkan oleh syarikat kejuruteraan Morabito Consultants pada 2018 menandakan `kesalahan besar’ dalam reka bentuk asal kondominium itu.
Jurutera, Frank Morabito memberi amaran sistem kalis air di bawah dek kolam renang kondominium Champlain Towers South tidak dipasang dengan betul sehingga menyebabkan aliran air gagal dikeluarkan.
Kegagalan sistem itu menyebabkan kerosakan besar terhadap struktur konkrit.
Malah, jelas laporan itu, kegagalan untuk menggantikan sistem kalis air dalam masa terdekat juga menyebabkan tahap kerosakan pada konkrit mengembang dengan lebih cepat.
Laporan dikemukakan oleh Morabito juga merujuk pada keretakan yang banyak di bahagian tiang dan dinding di garaj parkir bawah tanah bangunan tersebut.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut bahawa bangunan berusia 40 tahun itu berisiko runtuh namun menggesa kerja pembaikan konkrit perlu dilaksanakan segera.
KEROSAKAN KONKRIT
Jurutera struktur, Greg Batista yang pernah menjalankan ribuan pemeriksaan bangunan di Florida berpandangan isu kerosakan konkrit merupakan antara kemungkinan penjelasan runtuhan tersebut.
“Bangunan dibina berdekatan pantai terdedah kepada spalling. Pada dasarnya, besi di dalam konkrit akan berkarat dan mengembang sehingga tujuh kali ganda.
“Konkrit sekitarnya pula akan retak dan menyebabkan kerosakan ketara pada struktur bahagian tertentu,” katanya.
KERJA PEMBINAAN
Beberapa individu percaya gegaran daripada kerja pembinaan menara setinggi 19 tingkat dikenali sebagai Eighty Seven Park mungkin menyebabkan pergerakan tanah.
Pada 2019, penduduk Champlain Towers South membuat aduan pernah merasakan gegaran semasa kerja-kerja pembinaan bangunan itu namun dimaklumkan untuk memantau keadaan.
SIASATAN
Pengarah Sekolah Pembinaan, Infrastruktur dan Kelestarian di Universiti Antarabangsa Florida, Atorod Azizinamini berkata, siasatan runtuhan Champlain Towers South akan mengambil masa yang lama.
Katanya, ini kerana jurutera akan mengambil kira beberapa aspek ketika melakukan pemeriksaan.
“Antaranya, mereka perlu meneliti pelan reka bentuk, bagaimana bangunan itu dibina, mengambil sampel besi dan konkrit, memantau tanda retakan serta menyiasat sekiranya terdapat sebarang situasi
berlaku sebelum runtuhan,” katanya.
Setakat ini, sekurangkurangnya 12 maut dan 149 orang hilang dalam insiden tersebut dengan operasi mencari serta menyelamat diteruskan.
Sehingga kini, belum dapat dipastikan punca kejadian. – AGENSI