WASHINGTON: Penunjuk perasaan melakukan protes dengan meletakkan sejumlah beg mayat di luar ibu pejabat Facebook bagi mendesak syarikat teknologi itu menghentikan penyebaran berita palsu mengenai vaksin Covid-19.
Lapor The Sun, kumpulan penunjuk perasaan yang dikenali sebagai The Real Facebook Oversight Board menyusun beg mayat yang tertera perkataan disinfo kills di tepi jalan di Washington.
Aktivis Shireen Mitchell berkata, ramai orang membuat keputusan berdasarkan maklumat yang disebarkan di platform tersebut.
“Sekiranya Facebook tidak memadamkan maklumat tersebut atau hanya akan mengeluarkan kenyataan penafian. Maka, secara asasnya, Facebook turut sama terlibat dalam kematian akibat Covid-19,” katanya.
Mei lalu, dilaporkan kira-kira dua pertiga berita palsu dan teori konspirasi berkaitan anti-vaksin Covid-19 disebarkan oleh 12 individu yang sama.
Centre for Countering Digital Hate (CCDH) yang mengesan kesemua akaun individu berkenaan melabelkan mereka sebagai disinformation dozen.
Menurut CCDH, 12 individu berkenaan bertanggungjawab atas 65 peratus perkongsian hantaran anti-vaksin di laman media sosial, termasuk Instagram dan Twitter.
Ketua Eksekutif CCDH, Imran Ahmed berkata, kumpulan itu menyalahgunakan platform media sosial dengan memberi gambaran salah mengenai ancaman Covid-19 dan menyebarkan berita palsu berhubung keselamatan vaksin.
Sebelum ini, pasukan pakar menganalisis lebih 812,000 hantaran di Facebook dan Twitter yang disiarkan antara 1 Februari hingga 16 Mac lalu.
Daripada 689,000 hantaran anti-vaksin yang dikesan di Facebook, sebanyak 73 peratus berasal daripada disinformation dozen. – AGENSI