BANGKOK: Pulau peranginan terkenal Thailand, Phuket akhirnya dibuka kepada pelancong asing hari ini, selepas pandemik Covid-19 merencatkan sektor pelancongan di pulau tersebut selama lebih setahun.
Para pelancong yang masuk ke Phuket tidak perlu lagi menjalani kuarantin sekiranya mereka sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 lengkap, sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari dan hasil ujian saringan negatif ketika tiba di negara ini.
Presiden Persatuan Pelancongan Thailand, Bhummikitti Ruktaengam berkata, pelancong perlu menunggu keputusan ujian saringan di dalam bilik hotel dan sekiranya negatif, mereka bebas bergerak di seluruh Phuket.
“Jika mereka ingin mengunjungi bahagian lain di Thailand, mereka perlu duduk di Phuket sekurang-kurangnya 14 hari terlebih dahulu,” katanya.
Phuket menjadi wilayah pertama di Thailand yang menerima kunjungan pelancong asing tanpa keperluan kuarantin.