MOSCOW: Pesawat An-26 yang membawa seramai 28 penumpang didakwa melanggar tebing dan meletup sebelum terhempas ke dalam laut.
Lapor Daily Mail, dakwaan itu dibuat selepas pasukan penyelamat menemukan kesan terbakar di sebuah tebing berhampiran lapangan terbang Palana beberapa jam selepas nahas berlaku.
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan pesawat itu melanggar tebing tersebut kerana jarak penglihatan terhad.
Terdahulu, pihak berkuasa Rusia memaklumkan beberapa serpihan pesawat itu sudah ditemukan, namun belum mengenal pasti lokasi sebenar kapal terbang berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal, tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu dan pihak berkuasa negara ini memaklumkan pihaknya dapat mengesahkan jumlah korban esok.
Pesawat itu didakwa terputus hubungan kira-kira 10 minit sebelum mendarat di Palana, Kamchatka. – AGENSI