HANOI: Vietnam melaksanakan perintah berkurung di seluruh selatan negara ini selama dua minggu bermula tengah malam ini selepas kes jangkitan Covid-19 melebihi 3,000 dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
Perintah berkurung itu melibatkan Delta Mekong dan bandar Ho Chi Minh City yang merupakan hub kewangan serta ekonomi Vietnam.
Pihak berkuasa Vietnam memaklumkan, langkah itu terpaksa dilakukan selepas jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini semakin menghampiri 50,000 sejak April lalu.
Ho Chi Minh City sudah pun melaksanakan perintah berkurung penuh sejak seminggu lalu.
“Situasi semakin serius dengan kadar jangkitan yang tinggi, terutamanya melibatkan varian Delta.
“Kita perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat,” kata Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Kerajaan juga melarang perjumpaan atau perhimpunan lebih dua orang di tempat awam, kecuali pejabat kerajaan, hospital dan premis sektor penting.
Penduduk juga diarahkan hanya keluar dari rumah untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan. – AP