BRASILIA: Majlis perbandaran di seluruh Brazil semalam menafikan laporan akhbar yang menyatakan terdapat bandar yang memberikan sekurang-kurangnya 26,000 suntikan vaksin AstraZeneca sudah tamat tempoh kepada penduduk.
Bandar Maringa di selatan Brazil seperti yang dipetik oleh akhbar Folha de S.Paulo dilaporkan memberikan lebih 3,500 dos suntikan menggunakan vaksin yang tamat tempoh, menafikan laporan tersebut.
Pihak berkuasa bandar itu menegaskan, dos vaksin berkenaan dikatakan tamat tempoh berdasarkan kelewatan pendaftaran dalam sistem kementerian kesihatan negara ini.
“Kami tidak menggunakan vaksin tamat tempoh di Maringa, namun terdapat kesilapan data pendaftaran,” kata Setiausaha Kesihatan Maringa, Marcelo Puzzi dalam kenyataan.
Selain itu, beberapa bandar lain termasuk Sao Paulo, Juiz de Fora dan Belo Horinzonte yang dipetik dalam akhbar tersebut juga membuat kenyataan penafian mengenai pemberian dos vaksin tamat tempoh.
Program vaksinasi di Brazil berdepan dengan kritikan hebat, selain rakyat tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 yang disifatkan ‘sangat teruk’. – REUTERS