WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 di laman media sosial dilihat membunuh orang ramai.
Lapor BBC, Biden berkata, White House juga memberi tekanan kepada semua syarikat media sosial untuk menangani isu penyebaran maklumat tidak benar berhubung vaksinasi Covid-19.
“Mereka sedang membunuh orang ramai. Satu-satunya pandemik sedang dialami ketika ini adalah penduduk yang masih belum divaksin,” katanya dalam sidang akhbar di White House.
Biden mengulas pertanyaan wartawan berhubung peranan platform media sosial seperti Facebook yang didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai vaksin dan wabak Covid-19.
Sebelum ini, Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki mendakwa usaha dilakukan oleh Facebook dan platform media sosial yang lain masih tidak mencukupi untuk memerangi isu penyebaran berita palsu berhubung vaksin Covid-19.
Sementara itu, Facebook memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan agresif untuk melindungi kesihatan orang ramai. – AGENSI