WASHINGTON: Kumpulan penggodam yang disyaki menjadi dalang serangan siber yang menyasarkan ratusan laman web syarikat di seluruh dunia meminta ‘bayaran’ sebanyak AS$70 juta (RM291 juta) untuk memulihkan semula data yang ‘ditawan’.
Permintaan itu disiarkan dalam sebuah blog yang kebiasaannya digunakan oleh kumpulan penjenayah siber, REvil yang dikaitkan dengan Rusia.
Kumpulan itu mempunyai banyak gabungan, menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan siapa penggodam sebenar.
Namun, syarikat keselamatan siber, Recorded Future berkata, pihaknya ‘hampir pasti’ mesej tersebut dihantar oleh kepemimpinan utama REvil.
Serangan siber yang dilancarkan REvil pada Jumaat lalu disifatkan sebagai paling teruk.
Kumpulan itu didakwa menggodam firma teknologi yang berpangkalan di Miami, Kaseya dan menggunakan aksesnya untuk mencuri data pelanggan.
Pegawai eksekutif Kaseya memaklumkan syarikat itu tahu tentang tuntutan pembayaran tersebut namun enggan mengulas lanjut.
Serangan siber itu juga menyaksikan puluhan negara terjejas. – REUTERS