WASHNGTON: Selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat farmaseutikal Pfizer, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memutuskan penduduk yang sudah lengkap vaksinasi ketika ini tidak perlu mendapatkan dos tambahan.
Pfizer pada minggu lalu bercadang meminta kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) untuk menggunakan dos ketiga vaksin Covid-19 keluarannya sebagai usaha meningkatkan sistem imunisasi penerima susulan penularan varian Delta.
Namun, pihak berkuasa kesihatan ini memaklumkan pihaknya sentiasa akan berbincang dengan Pfizer sekiranya penggunaan dos ketiga akan diperlukan pada masa akan datang.
Dalam pada itum Pfizer menyatakan pihaknya akan menerbitkan ‘data yang lebih terperinci’ mengenai penggunaan dos ketiga tersebut.
“Pfizer dan kerajaan AS berkongsi pendapat yang sama mengenai usaha menangani ancaman Covid-19.
“Kami juga bersetuju bahawa data saintifik akan menentukan langkah seterusnya,” kata jurucakap Pfizer, Sharon Castillo. – REUTERS