NEW YORK: Majoriti pelajar universiti membuat pengakuan malu menjadi sebahagian daripada rakyat Amerika Syarikat (AS).
Lapor Daily Mail, data itu diperoleh hasil temu ramah terhadap sekumpulan pelajar yang berasal dari Washington yang mengalami kesukaran untuk menjawab soalan sama ada berbangga menjadi rakyat negara ini.
Soalan mudah itu diajukan oleh seorang wartawan, Ophelia Jacobson dari portal berita, Campus Reform.
Jacobson berjalan di sekitar bandar Georgetown yang merupakan kawasan penempatan bagi pelajar Universiti Georgetown.
Seorang pelajar perempuan semasa ditemu ramah mengaku berasa malu menjadi rakyat AS setiap hari.
“Saya rasa banyak perkara berlaku di AS yang menyebabkan saya begitu malu mengaku sebagai warganegara.
“Contohnya, seperti isu perkauman, penjajahan serta apa yang berlaku dalam politik dan pasukan polis,” katanya.
DISKRIMINASI KULIT HITAM
Bagi seorang pelajar Afrika-Amerika yang enggan dedahkan identitinya, menjadi golongan kulit hitam di negara ini bermakna dirinya berdepan banyak penindasan.
“Apa yang perlu dibanggakan menjadi golongan kulit hitam? Sedangkan masih banyak diskriminasi berlaku terhadap golongan seperti kami,” tegasnya.
Segelintir pelajar lain pula berasa gembira sekiranya dilucutkan kewarganegaraan AS dan hanya mahu pulang bercuti di negara itu.
Sementara itu, pelajar perempuan lain menjelaskan dia berasa malu menjadi rakyat AS kerana negara itu kerap mengaku menyokong setiap pihak tetapi masih menyokong Israel sehingga menyebabkan ribuan penduduk Palestin hilang tempat tinggal.
Menurut pelajar lain, sektor ekonomi AS hanya mementingkan wang semata-mata berbanding rakyat sendiri.
AS BUKAN NEGARA TERBAIK
Tiada seorang pun yang ditemu ramah bersetuju AS adalah negara paling terbaik di dunia.
Malah, tiada seorang pelajar pula mampu menjawab untuk menamakan negara yang lebih baik dari AS.
Pelajar yang enggan dikenali berkata, menjadi golongan kulit putih adalah terbaik di negara ini.
Namun, katanya, secara keseluruhan AS bukanlah negara terbaik di dunia.
“AS sebenarnya tidak dikenali sebagai tempat paling ramah.
“Negara ini mungkin terkenal dengan boleh melakukan apa sahaja, namun, sebenarnya AS tidak mengalu-alukan kedatangan kebanyakan orang,” jelasnya.