NSO Group nafi salah guna Pegasus - Utusan Malaysia

NSO Group nafi salah guna Pegasus

SIASATAN kebocoran data dilakukan oleh organisasi media menunjukkan penyalahgunaan perisian intip secara berterusan. - THE GUARDIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu siasatan mendapati sebuah syarikat Israel, NSO Group menjual perisian intipan kepada kerajaan autoritarian dengan ‘menyasarkan’ aktivis hak asasi, pengamal media, ahli politik dan peguam di seluruh dunia.

Siasatan berhubung kebocoran data dilakukan oleh The Guardian dan 16 lagi organisasi media menunjukkan perisian intipan dikenali sebagai Pegasus itu disalah guna secara berterusan. 

Namun, syarikat itu menegaskan perisian tersebut hanya digunakan terhadap penjenayah dan pengganas.   

Pegasus merupakan perisian berbahaya yang menjangkiti peranti iPhone dan Android bagi membolehkan pengendali alat mendapatkan mesej, gambar dan emel selain merakam panggilan serta mengaktifkan mikrofon secara rahsia.

Pendedahan itu juga melibatkan satu senarai mengandungi lebih 50,000 nombor telefon yang dipercayai dan dikenal pasti milik orang berkepentingan oleh pelanggan NSO sejak 2016.

Menurut gabungan media, nombor telefon dalam data itu tidak mendedahkan sama ada peranti tersebut dijangkiti Pegasus atau cuba digodam.

Bagaimanapun, gabungan media itu percaya data berkenaan menunjukkan potensi sasaran pelanggan kerajaan NSO yang dikesan terlebih dahulu sebelum sebarang cubaan pengawasan.

Analisis forensik yang dilakukan terhadap sebilangan kecil nombor telefon yang tertera dalam senarai itu menunjukkan lebih separuh dikesan dengan perisian intip Pegasus.

Ia merangkumi ratusan nombor telefon milik eksekutif perniagaan, tokoh agama, ahli akademik, pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai kesatuan dan kerajaan termasuk menteri Kabinet, presiden dan perdana menteri. 

Senarai itu turut membabitkan nombor telefon ahli keluarga terdekat pemerintah negara, secara tidak langsung menunjukkan pemimpin itu mungkin mengarahkan ejen perisik untuk memantau pergerakan saudara mara sendiri mereka.

Senarai berkenaan juga melibatkan nombor telefon lebih 180 pengamal media termasuk wartawan, editor dan eksekutif di Financial Times, CNN, New York Times, France 24, Economist, Associated Press dan Reuters.

Analisis itu mengenal pasti senarai nombor bertumpu di 10 negara iaitu Azerbaijan, Bahrain, Kazakhstan, Mexico, Maghribi, Rwanda, Arab Saudi, Hungary, India dan UAE.

Sementara itu, NSO Group menerusi kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan jumlah 50,000 nombor telefon itu hanya ‘dibesar-besarkan’. 

Syarikat itu menegaskan pihaknya hanya menjual perisian berkenaan kepada tentera, penguatkuasa undang-undang dan agensi perisikan di 40 negara.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya